Ketua Cawangan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Hafiz Haris (tengah) bersama anggotanya menunjukkan air zam zam yang dirampas. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Ketua Cawangan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Hafiz Haris (tengah) bersama anggotanya menunjukkan air zam zam yang dirampas. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 25,000 liter air zam zam yang cuba diseludup di Pelabuhan Utara, di sini, Rabu minggu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM187,500 dan duti/cukai dianggarkan sebanyak RM48,750.

"Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dagangan yang disyaki air zam zam menggunakan kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati dagangan yang disyaki dibawa adalah air zam zam dengan kuantiti dianggarkan sebanyak 25,000 liter.

"Kontena berkenaan diikrarkan bermuatan personal effect dalam Borang Kastam 1 (K1) bagi tujuan import," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Latif berkata, air zam zam diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga / Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Pengimport dan ejen penghantaran yang disyaki terbabit dalam pengimportan air zam zam ini sedang disiasat," katanya.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastam dan mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 5:14 PM