KIT ujian kendiri Covid19.
KIT ujian kendiri Covid19.
Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan kepada pengguna untuk berhati-hati ketika membeli kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran.

KPDNHEP dalam kenyataannya berkata, ini kerana pihaknya mengesan terdapat farmasi di Pahang yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 daripada syarikat yang belum mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk mengedar dan menjual kepada orang awam.

Katanya, siasatan lanjut mendapati farmasi berkenaan membekalkan kit ujian bukan daripada enam syarikat yang sudah diluluskan sebelum ini.

"Bagaimanapun, KPDNHEP akan mengemukakan siasatan berkenaan kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (PDA) untuk tindakan lanjut memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian.

"Disebabkan itu KPDNHEP menyarankan pengguna untuk berhati-hati dan membuat rujukan di laman rasmi MDA bagi mendapatkan senarai syarikat dan produk yang sudah diluluskan bagi pengedaran dan penjualan kit berkenaan," katanya.

KPDNHEP berkata, pihaknya dapat mengesan mengenai penjualan kit daripada syarikat yang belum diluluskan itu selepas menerima satu aduan daripada pengguna mengenai penjualan kit ujian kendiri di Terengganu yang dijual dengan harga RM60 seunit.

"Hasil siasatan mendapati farmasi berkenaan mendapat bekalan kit ujian kendiri Covid-19 itu di sebuah farmasi dari Pahang.

"Pemeriksaan juga mendapati farmasi berkenaan mematuhi penandaan harga ke atas barangan terbabit bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan harga yang dipaparkan.

"Ini kerana sehingga kini kit ujian kendiri itu belum disenaraikan dalam Barangan Kawalan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, sehingga kini hanya enam kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan oleh MDA untuk digunakan di negara ini.

Beliau dilaporkan berkata, kesemua kit yang diluluskan itu sudah selepas melepasi ujian prestasi dan memenuhi keperluan ditetapkan sebelum diberikan kelulusan bersyarat untuk dibekalkan ke farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan untuk dibeli orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 2:13 PM