BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) pada RM19.90 bagi setiap set, manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept ini.

Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan bersama hari ini.

"Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen Covid-19 berdasarkan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.

Harga maksimum turut ditentukan berdasarkan maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit serta persatuan farmasi barangan tersebut.

KPDNHEP juga telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak.

Kenyataan bersama itu menyebut KPDNHEP dan KKM bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit berkenaan susulan permintaan terhadap kit ujian itu yang dijangka meningkat berikutan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak Covid-19.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

"Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak Covid-19.

"KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang," katanya.

Kenyataan itu menyebut KPDNHEP akan mengawal harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

Menurut kenyataan berkenaan, KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga dan mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 adalah peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh MDA, KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit Covid-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab dari hidung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 2:33 PM