Ahmad Hasbi


Seremban: Pengguna dinasihatkan supaya tidak terlalu ghairah mendapatkan kit ujian kendiri Covid-19 melalui platform dalam talian dengan harga lebih murah kerana dikhuatiri tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) atau menggunakan jenama tiruan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pengguna diminta peka dengan caj penghantaran dikenakan peniaga dalam talian.

"Setakat ini, 16 jenama diberi kelulusan MDA dan mungkin jenama lain akan bertambah dari semasa ke semasa. Orang ramai boleh membuat semakan di laman web KPDNHEP.

"Jangan tengok harga murah, tetapi tidak mendapat kelulusan daripada MDA kerana mungkin ujiannya tidak berkualiti atau produk tiruan," katanya ketika sidang media selepas melakukan pemeriksaan di sebuah farmasi di Seremban 2, di sini, hari ini.

Beliau berkata, peniaga dalam talian dinasihatkan menyatakan harga dengan jelas iaitu tidak lebih daripada harga maksimum RM19.90.

AIN Arjuna ketika meninjau harga Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada Operasi Pemantauan Harga dan Bekalan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 di farmasi sekitar Seremban 2. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AIN Arjuna ketika meninjau harga Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada Operasi Pemantauan Harga dan Bekalan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 di farmasi sekitar Seremban 2. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Menurutnya, harga maksimum kit RM19.90 dan tidak termasuk caj penghantaran, jadi peniaga mesti menyatakannya dengan jelas dan sekiranya caj penghantaran terlalu mahal, pengguna boleh mencari alternatif lain.

"Setakat ini tiada laporan barangan tiruan atau pencatutan membabitkan kit berkenaan di Negeri Sembilan sejak pelaksanaan harga itu berkuat kuasa pada 5 September lalu.

"Sebelum pelaksanaan harga maksimum berkenaan, kami mendapati peniaga meletakkan harga sehingga mencecah RM40 untuk satu kit dan ia lebih tinggi sekali ganda daripada harga ditetapkan.

"Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat mengenai salah laku penjualan kit berkenaan boleh menghubungi aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 atau aplikasi kami Ez ADU KPDNHEP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 2:48 PM