Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Harga kit ujian pantas antigen Covid-19 akan diturunkan selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan menurunkan harga kit ujian pantas ini harus dilaksanakan dengan penelitian memandangkan KPDNHEP perlu mengambil kira kepentingan semua pihak serta merumuskan pendekatan menang- menang.

Menurutnya, kementerian perlu mengambil kira sudut pandangan industri yang berkaitan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan perniagaan.

"Kementerian akan terus mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengambil kira perbincangan dan pandangan pemegang taruh dalam industri kit ujian pantas antigen Covid-19 termasuk fasiliti farmasi dan klinik.

"Penelitian dari segi kos pengeluaran dan kos pengimportan perlu turut di ambil kira sebelum kita merumuskan harga maksimum yang baru," katanya dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

Alexander (GPS-Kapit) berkata demikian bagi menjawan soalan dikemukakan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu mengetahui adakah Kementerian akan menurunkan lagi harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 bagi membolehkan lebih ramai rakyat mampu membeli kit khususnya golongan B40.

Ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Kee Chin, Alexander berkata, KPDHEP memastikan kit ujian pantas antigen Covid-19 di pasaran sudah diluluskan Pihak Berkuasa Alatan Kesihatan (MDA) dibawah seliaan KKM.

Katanya, setakat ini 16 jenama kit ujian pantas antigen Covid-19 yang sudah diberikan kelulusan untuk dijual kepada pengguna mengikut spesifikasi ditetapkan MDA.

"Dalam masa sama, KPDNHEP juga akan memastikan harga bagi beberapa peralatan lain seperti alat pembersih udara, alat semburan sanitasi dan oximeter pulse dikawal.

"KPDNHEP akan terus memantau agar harga yang dijual pada harga yang ditetapkan dan mereka yang menjual melebihi harga maksimum akan dikenakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 12:23 PM