Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan laporan siasatan mengenai farmasi yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 tanpa kelulusan kepada pihak berkuasa secepat mungkin.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia bagi membolehkan tindakan diambil pihak berkenaan berikutan KPDNHEP tiada kuasa ke atas kesalahan itu.

Katanya, penjualan kit ujian kendiri Covid-19 yang tiada kelulusan kerajaan tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

"Jadi KPDNHEP akan mengemukakan kertas siasatan kepada MDA untuk tindakan selanjutnya," katanya yang ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk Mukim Manir di sini, hari ini.

Sebelum ini, penguat kuasa KPDNHEP mengesan sebuah farmasi di Pahang menjual kit ujian kendiri Covid-19 keluaran syarikat yang belum menerima kelulusan kerajaan.

Rosol berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan KKM dan agensi lain berkaitan bagi memastikan peralatan perubatan yang dijual di pasaran adalah sah mengikut undang-undang.

Ketika ini, katanya, kerajaan hanya meluluskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 daripada enam syarikat.

"Manakala, kita pula hanya boleh mengambil tindakan (ke atas peniaga) jika kit ujian kendiri itu adalah produk tiruan," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu KPDNHEP akan terus membuat pemantauan ke atas premis perniagaan bagi memastikan tiada pihak menjual kit ujian kendiri tiruan mahupun pelitup muka tiruan, dengan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 5:06 PM