FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggalakkan semua syarikat pengedar dan pengimport kit ujian kendiri Covid-19 membuat penilaian semula bagi menurunkan harga jualan sewajarnya di pasaran tanpa campur tangan kerajaan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya sedang berunding dengan 35 syarikat pengedar dan pengimport kit ujian kendiri Covid-19 itu berkaitan cadangan penurunan harga kit ujian di pasaran.

"Kita sedang berunding dengan 35 syarikat pengedar dan pengimport yang diberi kebenaran untuk membawa masuk dan mengilang kit kendiri itu.

"Jadi kami galakkan mereka (syarikat pengedar dan pengimport) untuk menurunkan harga tanpa ada campur tangan kerajaan.

"Di kementerian, kita masih buat kajian harga dan keputusannya akan diumumkan menteri pada masa sesuai," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan ketulenan logam berharga di beberapa premis di sekitar daerah ini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Azman turut memberi jaminan bekalan kit kendiri Covid-19 mencukupi di pasaran.

"Minggu lalu kita membawa masuk kira-kira sembilan juta RTK (kit kendiri) di pasaran dan jumlahnya mungkin mencapai belas-belas juta kerana ada lapan lagi syarikat belum terima bekalan dari luar negara," katanya.

KPDNHEP mengadakan sesi libat urus bersama pengedar dan pengimport bagi menentukan harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 pada Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sesi berkenaan diadakan bagi memberi peluang pengedar dan pengimport berbincang mengenai harga baharu kit ujian berkenaan sebelum ia diputuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 8:07 PM