FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, menahan 754 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 701 individu dikenakan kompaun manakala 53 direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (144), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (141), tidak memakai pelitup muka (135) serta tiada penjarakan fizikal (92).

"Selain itu, membawa penumpang berlebihan (84), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (78), premis gagal patuhi arahan (11) dan lain-lain kesalahan (69)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam menahan 44 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas sembilan kenderaan darat serta dua bot.

Katanya, dalam operasi sama, sebanyak 207 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Selain itu, beliau berkata, seramai 452 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Secara kumulatifnya sejak 24 Julai lalu, seramai 231,882 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel serta 10 Institut Latihan Awam termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,974 individu dikuarantin dan 221,127 orang dibenarkan pulang manakala 2,781 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan kawalan kendiri dengan kekal di rumah dan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:34 PM