PUSPAKOM
PUSPAKOM
Redzuan Muharam


Shah Alam: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menutup sementara operasi pusat pemeriksaan kenderaannya di Glenmarie dan Johor Bahru termasuk perkhidmatan bergerak di Johor mulai hari ini bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi.

Puspakom dalam kenyataan berkata, pembukaan semula Puspakom Glenmarie dan Johor Bahru akan dimaklumkan kelak.

Bayaran temujanji akan dikembalikan secara automatik kepada pelanggan yang sudah membuat temujanji pemeriksaan di kedua-dua cawangan berkenaan.

"Bagaimanapun, sebagai alternatif, pelanggan yang membuat temujanji di cawangan Glenmarie dibenarkan hadir pemeriksaan secara 'walk-in' (tanpa temujanji) di Puspakom Padang Jawa atau Petaling Jaya.

"Manakala bagi cawangan Johor Bahru, pelanggan boleh hadir ke cawangan alternatif iaitu Puspakom Pasir Gudang, Senai atau Kluang dengan syarat menunjukkan bukti slip temujanji pemeriksaan cawangan terbabit dengan penutupan," kata kenyataan itu.

Walaupun pemeriksaan tanpa temujanji dibenarkan, pelanggan digalakkan membuat temujanji pemeriksaan bagi mengelak berlakunya kesesakan di pusat pemeriksaan.

Pelanggan yang hadir secara tanpa temujanji perlu membuat pembayaran di cawangan.

"Pelanggan diminta untuk mengabaikan peringatan temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan.

"Orang ramai boleh mengikuti Facebook (Fb) Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Puspakom dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:50 PM