GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Redzuan Muharam


Shah Alam: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menyarankan pemilik kenderaan perdagangan melakukan pemeriksaan dengan segera selaras pengumuman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium pelanjutan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) selepas 30 September depan.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi mengelakkan kesukaran mendapat slot temujanji jika majoriti menangguhkan pemeriksaan ke saat akhir iaitu penghujung September.

Katanya, pemilik kenderaan perdagangan termasuk kenderaan e-hailing yang tamat tempoh Perakuan Pemeriksaan Puspakom pada 1 Jun hingga 30 September digalakkan melakukan pemeriksaan kenderaan mereka mulai sekarang.

"Sebagai contoh, pelanggan yang Perakuan Pemeriksaan sudah tamat tempoh disarankan membuat temujanji pemeriksaan seawal bulan ini.

"Mereka boleh hadir pemeriksaan tanpa perlu menunjukkan bukti pembayaran saman," katanya.

Puspakom juga akan memastikan slot temujanji pemeriksaan adalah cukup sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium ini.

"Namun, pelanggan wajib membuat temujanji secara dalam talian melalui laman web www.mypuspakom.com.my atau aplikasi MyPUSPAKOM.

"Pemeriksaan secara tanpa temujanji (walk-in) tidak dibenarkan sama sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:50 PM