GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Haidya Syafira Amir


Kuala Lumpur: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) hari ini mengesahkan seorang kakitangannya di Puspakom Bangi, positif Covid-19, sekali gus menutup premis berkenaan mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak.

Puspakom dalam kenyataannya berkata, penutupan Puspakom Bangi untuk memberi laluan kepada kerja sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh.

"Proses pengesanan kontak dijalankan dan semua kakitangan cawangan juga akan menjalani ujian saringan Covid-19, manakala mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan terbabit diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Bagi pelanggan yang mempunyai janji temu, semua bayaran temujanji pemeriksaan yang dibuat akan dipulangkan secara automatik," kata kenyataan itu.

Pelanggan yang membuat janji temu dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan secara walk-in dengan pembayaran tunai di cawangan Puspakom Pandan Mewah, Glenmarie, Petaling Jaya, dan Cheras bagi kenderaan persendirian.

"Bagi kategori kenderaan perdagangan ringan dan e-hailing pula, boleh menjalani pemeriksaan di Puspakom Padang Jawa, Wangsa Maju, Cheras dan Taman Bukit Maluri, katanya.

Pelanggan perlu membawa slip pengesahan janji temu Puspakom Bangi semasa hadir di cawangan alternatif.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 9:42 AM