Petugas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang proses pengebumian menguruskan jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Petugas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang proses pengebumian menguruskan jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 hari ini merekodkan sebanyak 16,117 kes menjadikan jumlah keseluruhan 1,044,071 kes dengan 165,901 kes aktif dan 207 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 87 kes atau 0.5 peratus adalah daripada kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan dengan 95.4 peratus kes tiada sejarah vaksinasi.

Menurutnya, terdapat 124 kes atau 0.8 peratus adalah kategori empat yang mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dengan 83.9 peratus kes tiada sejarah vaksinasi.

"135 kes lagi atau 0.8 peratus adalah kategori tiga yang mengalami radang paru-paru dengan 73.3 peratus kes tiada sejarah vaksinasi.

"Sebanyak 6,710 kes atau 41.6 peratus pula adalah kategori dua yang mengalami gejala ringan dengan 79.5 peratus kes tiada sejarah vaksinasi.

"Sebanyak 9,061 kes atau 56.3 peratus adalah kategori satu yang tidak bergejala dengan 94.4 peratus kes tiada sejarah vaksinasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan keadaan klinikal pesakit semasa baru didiagnosa Covid-19, ada di antara mereka kekal di kategori sama sepanjang tempoh jangkitan.

"Namun ada juga yang berubah status kesihatan mereka sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 2.1 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga hingga lima dengan 82.7 peratus tiada sejarah vaksinasi.

"Sebanyak 97.9 peratus kes pula pada kategori satu dan dua dengan 88.1 peratus tiada sejarah vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, daripada 16,117 kes dilaporkan, 26 adalah kes import, manakala 16,091 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 6,616 kes diikuti Kuala Lumpur (2,457 kes) dan Johor (907).

"Terdapat 1,023 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 524 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, sebanyak 11,526 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 865,439 kes atau 82.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat 207 kematian dilaporkan hari ini membabitkan 181 warga tempatan serta 26 warga asing dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 96 kes diikuti Kuala Lumpur (34 kes) dan Johor (21 kes).

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 8,408 kes atau 0.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:55 PM