Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 21,257 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, melebihi jumlah pesakit yang disahkan positif virus berkenaan, iaitu 19,268 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 1,443,262 kes atau 83.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurutnya, kes baharu turut mencatatkan penurunan berbanding 20,579 yang direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 1,725,357 kes dengan 265,713 kes aktif.

Beliau berkata, daripada 19,268 kes dilaporkan, 16 kes adalah kes import, manakala 19,252 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi, namun dengan penurunan ketara iaitu sebanyak 3,567 kes diikuti Sabah (2,310 kes) dan Johor (2,265 kes).

"Terdapat 1,033 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 476 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 399 kes atau 2.1 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5 iaitu mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen serta kritikal.

"Sebanyak 18,869 kes atau 97.9 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2 berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.

"Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

"Secara keseluruhannya, 14,664 kes atau 76.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 295 kematian dilaporkan hari ini membabitkan 261 warga tempatan serta 34 warga asing dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 81 kes diikuti Johor (47 kes) dan Sabah (42 kes).

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 16,382 kes atau 0.95 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 7:39 PM