PETUGAS Petugas kesihatan memberi suntikan suntikan vaksin 19 jenis Sinovac kepada penerima. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PETUGAS Petugas kesihatan memberi suntikan suntikan vaksin 19 jenis Sinovac kepada penerima. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Jumlah individu di Sabah yang mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 memperlihatkan peningkatan apabila seramai 743,552 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah itu mewakili 27 peratus daripada populasi negeri ini.

Katanya, pendaftaran sebagai penerima vaksin paling banyak dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera, berbanding menerusi laman sesawang dan talian vaksinasi.

"Sebanyak 69,989 pendaftaran dicatatkan semalam menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini seramai 743,552 orang.

"Seramai 676,874 mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, 66,432 mendaftar menerusi laman sesawang manakala 246 pula mendaftar melalui talian vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Sabah, Masidi berkata, seramai 16,403 sudah menerima suntikan vaksin harian dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 220,878 orang.

Manakala bagi dos kedua, seramai 1,901 menerima suntikan vaksin menjadikan 59,902 orang.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam adalah 248 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,978 kes.

"Sebanyak empat kes kematian direkodkan iaitu dua kes di daerah Tawau dan satu kes masing-masing membabitkan Kunak dan Kota Kinabalu.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 350 menjadikan jumlah kumulatif 64,101 orang.

"Seramai 1,911 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 527 di hospital, 1,382 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 8:42 AM