Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Pelabuhan Klang: Kontena diisytihar membawa muatan barangan dapur, tisu basah dan barang campuran.

Itu taktik sindiket kontraban untuk menyeludup rokok putih dan arak dari negara jiran, dengan negara ini dijadikan sebagai transit.

Kegiatan itu berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II selepas merampas empat kontena pada 24 Mei hingga 7 Jun lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, pihaknya merampas barang larangan itu yang bernilai RM3.915 juta termasuk cukai.

"Pada 26 Mei hingga 7 Jun lalu, JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok putih membabitkan tiga kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

"Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga kontena yang diikrar sebagai barangan campuran dan peralatan dapur mendapati kontena terbabit bermuatan rokok putih," katanya pada sidang media di Wisma Kastam Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 4.1 juta batang rokok dengan nilai RM328,976 dengan jumlah duti dianggarkan RM2.746 juta dirampas.

Wong (tengah) menunjukkan sebahagian rokok dan minuman keras yang diseludup menerusi empat kontena. FOTO Faiz Anuar.
Wong (tengah) menunjukkan sebahagian rokok dan minuman keras yang diseludup menerusi empat kontena. FOTO Faiz Anuar.

"Rokok putih berkenaan dipercayai untuk pasaran Australia dan menjadikan negara ini sebagai transit.

"JKDM sudah memanggil wakil ejen penghantaran kontena itu untuk memberikan keterangan," katanya.

Menurutnya, pada 15 Jun lalu, pihaknya turut mematahkan cubaan menyeludup masuk minuman keras selepas berjaya menahan satu kontena di Pelabuhan Utara.

"Semakan mendapati kontena berkenaan diikrar sebagai tisu basah bagi mengelakkan dikesan pihak kastam.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemui 21,840 liter minuman keras yang tidak mempunyai permit import dengan nilai dagangan sebanyak RM87,360 dan nilai duti RM752,001," katanya.

Menurutnya semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport barang tidak berkastam atau apa-apa larangan.

Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 4:54 PM