ROKOK seludup yang dirampas anggota PGA. FOTO ihsan PGA
ROKOK seludup yang dirampas anggota PGA. FOTO ihsan PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua cubaan menyeludup dan menjual rokok tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran dalam dua operasi berasingan di Beluran, semalam.

Hasil operasi dijalankan bermula jam 12.30 hingga 1 tengah hari itu, sebanyak 6,900 kotak rokok seludup berjaya dirampas dan seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan.

Operasi diketuai Pegawai Pemerintah BN 20 PGA Beluran Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa yang melakukan pemantauan di Kampung Kumbanbangan, Paitan dan Jalan Beluran-Telupid, di sini.

Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, rampasan pertama membabitkan penahanan sebuah Proton Pesona di Jalan Beluran-Telupid, di sini, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, kenderaan dipercayai dalam perjalanan ke Sandakan itu didapati membawa beberapa kotak yang disembunyikan di bonet.

"Hasil pemeriksaan, PGA menemui 192 karton rokok seludup.

"Jumlah keseluruhan rokok berkenaan ialah sebanyak 78,000 batang dianggarkan bernilai RM58,500 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, dalam operasi sama, PGA merampas 3,000 bungkus rokok tanpa cukai dalam operasi di Kampung Kumbanbangan, Paitan, di sini.

Mohd Abduh berkata, semua rokok berkenaan ditinggalkan di sebuah pondok berkunci tanpa penghuni.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 11:16 AM