ROKOK seludup dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan. FOTO Ihsan PGA.
ROKOK seludup dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan. FOTO Ihsan PGA.
Hazsyah Abdul Rahman


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan berjaya menahan seorang lelaki yang dalam perjalanan menghantar bekalan rokok seludup ke kawasan Sapi Nangoh, Beluran.

Lelaki berusia 30 tahun itu diberkas 12.30 tengah hari semalam, susulan risikan dan maklumat.

Pegawai Memerintah PGA Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata, anggotanya menemui suspek memandu pacuan empat roda yang ketika itu dari Telupid menghala ke Sapi Nangoh.

"Suspek diminta berhenti dan pemeriksaan dilakukan menemui pelbagai rokok seludup di dalam kotak berwarna coklat, tersembunyi di belakang kenderaan. Selain itu ada minuman keras yang dipercayai tidak dicukai.

"Nilai semua barangan itu mencecah RM167,551.

"Siasatan lanjut mendapati suspek gagal dikesan sebelum ini kerana menggunakan laluan tikus," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Toipi berkata, suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 9:19 AM