WAN Jamal Abdul Salam  (tengah)  memeriksa  rampasan 24,500 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM1.2 juta dalam serbuan yang dijalankan pada sebuah gudang di Kampung Batu 6, Shah Alam pada 25 April lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN Jamal Abdul Salam (tengah) memeriksa rampasan 24,500 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM1.2 juta dalam serbuan yang dijalankan pada sebuah gudang di Kampung Batu 6, Shah Alam pada 25 April lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 24,500 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM1.2 juta dalam serbuan yang dijalankan pada sebuah gudang di Kampung Batu 6, Shah Alam, Selangor pada 25 April lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan berkenaan adalah yang terbesar bagi JKDM Kelantan sejak empat tahun lalu membabitkan arak yang tidak berdaftar di bawah agensi berkenaan.

Katanya, ketika serbuan dijalankan terdapat empat lori ditinggalkan di perkarangan gudang sebelum anggota bertugas membuat pemeriksaan dan menemui kesemua kotak berisi pelbagai jenis arak terbabit.

"Hasil siasatan mendapati mereka menggunakan modus operandi dengan membawa seludup arak ini melalui Pelabuhan Klang tanpa prosedur pengimportan yang sah bagi penjualan di pasaran tempatan dengan harga lebih murah.

"Minuman keras jenis bir diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Import yang

tertakluk di bawah Jadual Ketiga Bahagian II Item No. 3 Perintah Kastam (Larangan

Mengenai Import) 2023.

"Manakala, jika disabit kesalahan, pelaku boleh dihukum dibawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasa JKDM Cawangan Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, kesalahan itu memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau duti kastam atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai atau duti kastam atau RM500,00 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kesemua minuman keras yang dirampas ini dikeluarkan daripada pelbagai negara disyaki untuk pasaran tempatan khususnya di pusat hiburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 5:20 PM