Kontena berisi minuman keras yang dirampas anggota PGA Batalion 16 Sabah. FOTO IHSAN PGA SABAH
Kontena berisi minuman keras yang dirampas anggota PGA Batalion 16 Sabah. FOTO IHSAN PGA SABAH
Juwan Riduan


Penampang: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 Sabah merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok diseludup yang disorok dalam 10 kontena bernilai hampir RM4.5 juta susulan serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Limbanak, di sini, semalam.

Op Kontraban oleh pasukan khas perisikan Batalion 16 PGA Sabah pada jam 4.30 petang itu turut menahan empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 34 tahun.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi susulan hasil risikan yang dilakukan sejak April lalu dan maklumat orang awam.

Katanya, dua daripada suspek yang ditahan adalah warga tempatan manakala dua lagi warganegara Indonesia yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

"Rampasan membabitkan pelbagai jenis minuman keras dan rokok seludup dipercayai untuk diedarkan di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua individu yang ditangkap diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

Katanya, barang-barang yang dirampas pula akan dihantar ke stor berpusat barang kes IPD Kota Kinabalu selepas selesai proses dokumentasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

"Semua suspek direman tujuh hari mengikut Seksyen 117 KPJ dan siasatan lanjut dijalankan oleh IPD Penampang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 2:40 PM