MARSHALL mengawasi pemain Selangor F yang hadir untuk menjalani latihan.
MARSHALL mengawasi pemain Selangor F yang hadir untuk menjalani latihan.
Firdaus Hashim; Syazwan Msar & Amirul Fazli Zulkafli


Shah Alam: Selangor FC mengambil langkah drastik menempatkan enam marshall luar bagi mengetatkan kawalan keselamatan di Pusat Latihan Selangor FC di sini, hari ini.

Langkah itu diambil susulan insiden menimpa pemain mereka, Faisal Halim yang disimbah asid semalam sehingga mendatangkan kecederaan serius kepada dirinya.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, suasana agak terkawal namun difahamkan kesemua barisan pemain Red Giants dalam situasi berjaga-jaga.

Difahamkan juga pemain dan pihak pengurusan hadir ke sesi latihan lebih awal kerana dikatakan mereka ada mesyuarat pasukan.

Enam marshall yang bertugas itu juga dilihat begitu tegas dan lebih berjaga-jaga termasuk tidak membenarkan media membuat liputan seperti hari kebiasaan kerana tidak ingin apa yang menimpa Faisal itu berulang di Pusat Latihan Selangor FC.

Arena Metro juga cuba mendapatkan maklum balas berkenaan isu ketika ini namun mereka mengambil pendekatan tidak ingin mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ingin menghormati siasatan yang dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 6:24 PM