AKHYAR dan Faisal perlu masa untuk pulih daripada kecederaan dialami.
AKHYAR dan Faisal perlu masa untuk pulih daripada kecederaan dialami.
Firdaus Hashim; Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Arena bola sepak negara menjadi perhatian masyarakat antarabangsa gara-gara kes malang membabitkan dua tonggak Harimau Malaya Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

Berita mengenai dua pemain berkenaan masing-masing disamun dan disimbah asid mendapat liputan media Korea Selatan menerusi artikel yang dipaparkan portal Best Eleven.

Situasi terbabit kemungkinan disebabkan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon berasal dari Korea Selatan sekali gus turut menjadi antara tajuk hangat media di negara terbabit.

Berdasarkan laporan portal terbabit, kedua-dua pemain yang beraksi di Piala Dunia di Qatar, Januari lalu, memerlukan tempoh lama untuk pulih daripada kecederaan masing-masing.

Malah, kemungkinan besar Faisal tidak dapat beraksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan dalam aksi kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan depan.

Pada masa sama, portal berkenaan turut melaporkan kenyataan Pan-gon yang dimuatnaik di Instagramnya yang mengharapkan kedua-dua pemain itu segera pulih.

"Saya berharap yang terbaik untuk kedua-dua pemain berada dalam keadaan terbaik," lapor portal itu.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan terjadi dengan seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa terbaharu.

Menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara semalam.

Kejadian itu, menyebabkan Faisal cedera di beberapa bahagian badan termasuk mukanya dan kini dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.

Situasi terbabit sudah pastinya mengganggu persiapan skuad Gergasi Merah yang akan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan Sumbangsih hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 6:41 PM