KHAIRUL (tengah) ketika melayani tetamu sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Laut Tok Bali di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
KHAIRUL (tengah) ketika melayani tetamu sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Laut Tok Bali di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Jeti bagi perkhidmatan feri tumpang bakal dibina di Terusan Semerak bagi merancakkan ekonomi pelancongan di Tok Bali, di sini.

Pembinaan jeti itu dicadangkan kerajaan negeri yang mendapat sokongan Pejabat Laut Tok Bali (Jabatan Laut Malaysia) dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi.

Ketua Pejabat Laut Tok Bali, Khairul Ihsan Ismail berkata, perbincangan pertama antara pihaknya, kerajaan negeri dan pihak terbabit akan berlangsung dalam tempoh terdekat, bulan ini.

Katanya, meskipun Kelantan tidak mempunyai pulau, namun perkhidmatan feri tumpang itu akan membawa penumpang untuk ke Pulau Perhentian, Terengganu dan pulau berdekatan.

"Perkhidmatan jeti feri tumpang itu akan berfungsi seperti perkhidmatan feri di Kuala Perlis untuk ke Pulau Langkawi atau jeti di Johor untuk ke pulau di Pahang," katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Laut Tok Bali, di Tok Bali, di sini, hari ini.

Khairul Ihsan berkata, perbincangan akan membabitkan kos pembinaan, lokasi sebenar dan keluasan dan lain-lain yang berkaitan.

Katanya, jika tiada halangan, pembinaan dijangka dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi atau lebih cepat.

"Kita menyambut baik segala hasrat yang dapat membangunkan ekonomi penduduk setempat di Tok Bali dan menjana pendapatan buat kerajaan negeri bagi masa akan datang.

"Dari segi penjanaan ekonomi, kita turut membantu nelayan menjalankan aktiviti 'sport fishing' dari segi kebenaran dan keperluan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 5:55 PM