HAMIDIN mahu keselamatan pemain negara diberi keutamaan.
HAMIDIN mahu keselamatan pemain negara diberi keutamaan.
Manan Samad; Firdaus Hashim & Syazwan Msar


Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan khususnya babitkan kem latihan skuad Harimau Malaya bagi memastikan keselamatan pemain berada dalam keadaan selamat.

Perkara itu ditegaskan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui pihaknya sudah meminta bahagian sekretariat skuad kebangsaan mengambil serius perkara ini.

Ujarnya, dua insiden serangan ke atas pemain utama skuad Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid menjadi peringatan berguna buat badan induk itu untuk memperketatkan kawalan keselamatan.

"Saya dah maklumkan kepada bahagian keselamatan untuk pastikan kawalan keselamatan babitkan skuad Harimau Malaya kena lebih ketat khususnya dalam kem pasukan terutama Jun ini.

"Mungkin kena tambah anggota lagi sepanjang kem latihan itu nanti," katanya kepada Arena Metro dalam sesi 'one to one' bersamanya di Wisma FAM, di Kelana Jaya, hari ini.

Terdahulu, arena bola sepak tempatan dikejutkan insiden balingan cecair atau asid ke arah Faisal yang berada di sebuah pusat membeli belah di Damansara petang semalam.

Khamis lalu, seorang lagi ayam tambatan Harimau Malaya, Akhyar Rashid turut menjadi mangsa apabila dipukul oleh dua individu tidak dikenali di Kuala Terengganu.

Ditanya adakah sudah tiba masanya pemain bola sepak tempatan menggunakan khidmat 'bodyguard' atau pengawal peribadi, Hamidin menganggap ia idea yang baik namun terpulang kepada kemampuan kewangan pemain itu.

"Kalau katakan di Malaysia ini belum ada lagi (pengawal peribadi). Kalau di luar itu adalah sebab ia babitkan pemain-pemain nama besar di luar sana kan.

"Siapa yang ada 'bodyguard' lebih bagus tapi pada yang mampulahkan, kalau tak mampu tak boleh," katanya.

Hamidin turut menasihatkan agar pemain-pemain bola sepak negara berhati-hati setiap kali berada di luar bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 6:07 PM