TIGA suspek penyeludup ditahan di Kampung Gambaron. FOTO ihsan PGA
TIGA suspek penyeludup ditahan di Kampung Gambaron. FOTO ihsan PGA
Hazsyah Abdul Rahman

PREMIS menjual rokok dan arak seludup diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan barangan bernilai lebih setengah juta dirampas di Kampung Gambaron, dekat Telupid, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, tiga lelaki berusia 40 hingga 60 tahun disyaki pemilik premis warga tempatan dan pekerja warga Filipina dan Indonesia turut tahan.

Pegawai Memerintah, PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, bertindak atas maklumat orang awam sepasukan anggota dihantar ke lokasi terbabit.

Menurutnya, sebaik tiba di premis itu anggota bertugas diketuai Inspektor Mohd Nazrin Shah Zulhakim menjalankan pemeriksaan.

“Sejurus itu, dua lagi lelaki ditemui sedang sibuk memunggah rokok dan arak ke dalam lori.

“Pemeriksaan lanjut mendapati barangan berkenaan dipercayai tidak bercukai dan diseludup.

“Anggota bertugas kemudiannya merampas wang tunai sebanyak RM3,491 yang disimpan di kaunter premis berkenaan kerana disyaki hasil jualan barangan seludup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd berkata, semua suspek kemudiannya diberkas dan barangan berkaitan di situ dirampas untuk tindakan lanjut.

“Barangan rampasan iaitu rokok seludup, arak seludup, lori dan wang tunai yang semuanya dianggarkan RM586,768.

“Suspek bersama barang rampasan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 11:47 AM