ROKOK dan minuman keras yang dirampas PGA Sabah dalam tiga serbuan di Beluran. FOTO Ihsan PGA
ROKOK dan minuman keras yang dirampas PGA Sabah dalam tiga serbuan di Beluran. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Beluran, semalam.

Operasi Op Kontraban berkenaan diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa yang dijalankan bermula jam 12 tengah hari berdasarkan maklumat awam dan risikan.

Serbuan pertama membabitkan sebuah kedai runcit di kawasan Botition, di sini, yang dijaga dua lelaki berusia 17 dan 43 tahun.

Komander Briged Sabah PGA , Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM322,275 selepas cukai.

Katanya, kedua-dua suspek terus ditahan dan semua barang kes dirampas untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Operasi diteruskan dengan serbuan kedua di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Cenderamata, Telupid, di sini, yang didiami seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai RM608,103," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, operasi diteruskan lagi dengan menyerbu sebuah stor berkunci tanpa penjaga di Kampung Basai Baru, Bontition, di sini.

Katanya, pasukan serbuan terpaksa memecahkan pintu stor untuk melakukan pemeriksaan selepas menunggu lebih 30 minit di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan berjaya menemui rokok dan minuman keras yang dipercayai diseludup masuk untuk pasaran di sekitar daerah ini.

"Semua barangan yang dianggarkan bernilai RM123,427 itu terus dirampas untuk siasatan," katanya.

Mohd Abduh berkata, jumlah keseluruhan rampasan yang berjaya dilakukan adalah sebanyak RM1.053 juta dan semua barang rampasan akan diserahkan kepada JKDM tindakan termasuk pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 12:22 PM