GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Keutamaan imunisasi Covid-19 perlu diberikan kepada pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan kerana kepentingannya sebagai 'enjin' ekonomi negara serta risiko yang dihadapi tenaga kerjanya yang sentiasa berinteraksi dan menyiapkan logistik untuk pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, risiko jangkitan yang dihadapi tenaga kerja sektor berkenaan setiap hari adalah sangat serius dan boleh membantutkan usaha kerajaan untuk mencapai tahap imuniti kelompok.

"Oleh itu sektor-sektor berkenaan harus diberi perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagaimana sektor lain seperti perkilangan dan pembinaan.

"Kementerian berpendapat adalah tidak adil bagi mereka yang terlibat dalam sektor ini untuk menunggu lebih lama program vaksinasi yang dikhaskan buat mereka," katanya tadi.

Beliau yang turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bahawa tubuh mula membina imunisasi selepas dua hingga tiga minggu menerima vaksin, mencadangkan prosesa vaksinasi terhadap pemain sektor-sektor berkenaan dilakukan bulan ini sebagai persiapan pembukaan semula pelbagai sektor hadapan ekonomi dalam fasa PPN selanjutnya.

Dalam sesi libat urus yang disertai bersama Timbalannya Datuk Rosol Wahid, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, pegawai kanan KPDNHEP serta 90 wakil pelbagai subsektor peruncitan baru-baru ini, pemain industri bersetuju keutamaan perlu diberikan kepada barisan hadapan sektor berkenaan, katanya.

Beliau juga berkata, berdasarkan data dan statistik daripada KKM, hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan kluster melibatkan sektor perdagangan domestik, manakala tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor berkenaan pula ialah 98.54 peratus.

Nanta berkata, sektor peruncitan sebagai antara perkhidmatan perlu, beroperasi setiap hari sepanjang Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam PPN demi memastikan orang ramai boleh mendapatkan bekalan makanan dan minuman seperti biasa tanpa perlu melakukan pembelian panik dan berlebihan.

Walaupun kluster Covid-19 yang wujud daripada sektor peruncitan adalah rendah, pekerja sektor peruncitan khususnya pasar raya berhadapan risiko yang tinggi kerana sentiasa bersemuka dengan pelbagai kategori pengguna, katanya.

Menurutnya, terdapat 1,162 pekerja daripada 59 pasar raya dijangkiti Covid-19 yang menyebabkan operasi pasar raya itu terpaksa ditutup, dan hingga hari ini terdapat tujuh cawangan pasar raya masih ditutup kerana kebanyakan pekerja perlu menjalani proses kuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:58 PM