TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sejumlah RM13.53 bilion yang disalurkan kepada 327,908 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) 1.0, 2.0 dan 3.0 sehingga 15 Februari lalu berjaya membantu mengekalkan 2.6 juta pekerjaan di negara ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha yang dijalankan kerajaan termasuk melalui PSU itu juga dapat menurunkan kadar pengangguran ke tahap 4.8 peratus pada November dan Disember lalu berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.

Beliau berkata, kerajaan menyedari perlunya tindakan susulan menjana peluang pekerjaan baharu bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau mereka yang baharu memasuki pasaran kerja.

"Ini terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi. Bagi mencapai objektif itu, insentif pengambilan pekerja atau Program PenjanaKerjaya diperkenalkan dengan peruntukan RM2 bilion.

"Sehingga 15 Februari 2021, sebanyak RM337.3 juta sudah dibayar sebagai insentif PenjanaKerjaya 1.0 yang dimanfaatkan oleh 14,904 majikan dengan menyediakan 113,074 peluang pekerjaan untuk rakyat.

"Bagi PenjanaKerjaya 2.0 bawah Belanjawan 2021, tarikh permohonannya mula dibuka pada 1 Januari lalu, lebih RM3.9 juta sudah dibayar kepada 1,073 majikan, membabitkan sebanyak 3,651 pekerja," katanya ketika merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia dan Pelancaran Portal MYFutureJobs, secara maya, tadi.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Tengku Zafrul berkata, gelombang Covid-19 terkini yang menyaksikan pelaksanaan pelbagai versi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu menyebabkan masih ramai menghadapi cabaran mencari pekerjaan dalam suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, walaupun banyak aktiviti ekonomi dibenarkan dalam PKP2.0,masih ada sektor-sektor yang amat terkesan seperti pelancongan dan beberapa sub-sektor peruncitan yang hanya mampu pulih apabila Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan sepenuhnya pada Suku Pertama Tahun 2022.

Justeru, beliau berkata, usaha yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini bertambah kritikal dan perlu dipergiatkan lagi bagi membantu rakyat yang menganggur meraih peluang pekerjaan dan mencari nafkah.

"Saya yakin perkhidmatan pekerjaan PERKESO yang dimantapkan lagi melalui portal pekerjaan MYFutureJobs serta inisiatif seperti Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia akan terus membantu lebih ramai golongan pencari kerja.

"Portal MYFutureJobs PERKESO memudahcara proses carian dua-hala, iaitu dari segi mencari dan menawarkan pekerjaan. Melalui perkhidmatan kaunseling, penyediaan résumé dan pembuatan profil bagi pencari kerja, serta pendaftaran kekosongan jawatan bagi majikan, saya difahamkan bahawa MYFutureJobs, yang berlandaskan teknologi Artificial Intelligence, dapat

memadankan profil pencari kerja dengan pekerjaan pilihan secara tepat.

"Ini juga dapat membina keupayaan PERKESO menilai dan memahami trend pasaran buruh, satu keupayaan yang amat penting bagi mengenalpasti sektor-sektor yang mempunyai permintaan tinggi, dan bagi penggubalan dasar," katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, inisiatif bersepadu bersama syarikat swasta dan industri, yang dilancarkan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia, mencerminkan hasrat Kerajaan untuk menjana pekerjaan, serta menangani isu-isu struktur seperti pekerjaan bawah tahap kemahiran rasmi (underemployment),kesaksamaan peluang untuk golongan rentan dan tahap penggajian yang berkembang selaras dengan kadar inflasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 5:56 PM