Nazri Abu Bakar


Melaka: Seramai 800 penerima disasarkan memperolehi suntikan vaksin Covid-19 setiap hari selepas Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) yang pertama dibuka di negeri ini.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, program bermula hari ini sehingga pertengahan September di PPVIN RiVAC Dataran Pahlawan Melaka Megamall (DPMM) membabitkan pekerja barisan hadapan ekonomi khususnya bagi sektor peruncitan.

Pekerja barisan hadapan sektor ekonomi sedang menerima suntikan vaksin ketika tinjauan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Retail Industry Vaccination Programme (RiVAC) di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Pekerja barisan hadapan sektor ekonomi sedang menerima suntikan vaksin ketika tinjauan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Retail Industry Vaccination Programme (RiVAC) di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Menurutnya, dijangkakan seramai 8,000 pekerja akan menerima vaksin terbabit antaranya bahagian stor, juruwang, jurujual pasar raya dan pasar raya besar, pegawai kaunter khidmat pelanggan, pegawai keselamatan pasar raya, pengurus kompleks beli-belah dan yang lain.

Katanya, syarikat dan majikan yang menyertai RiVAC tertakluk kepada terma dan syarat pelaksanaan program vaksinasi melalui PPVIN yang ditetapkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Penerima vaksin ini adalah mereka yang sudah didaftarkan di bawah syarikat atau majikan mereka sendiri.

"Kita tidak benarkan mereka 'walk in' untuk mendapatkan vaksin, kita hanya tumpu pada majikan dan pekerja-pekerja sahaja,"katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 4:55 PM