GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalinkan kerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi melaksanakan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi – Sektor Peruncitan yang akan bermula Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai barisan hadapan ekonomi, sektor peruncitan penting dalam memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.

Justeru, katanya, pemberian vaksin kepada pekerja sektor peruncitan secara tidak langsung akan membantu mencapai imuniti kelompok seperti yang disarankan oleh kerajaan.

"Melalui program ini, KPDNHEP diberi tanggungjawab untuk merancang dan menyelaraskan program vaksinasi sektor peruncitan dengan semua pemain industri yang berkaitan.

"Selain itu KPDNHEP juga menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) untuk mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di lokasi yang strategik di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Alexander mengadakan perjumpaan dengan pihak CITF serta lebih 60 individu yang terdiri daripada wakil persatuan dan pemain industri peruncitan.

Mengenai program berkenaan, Alexander berkata, pihaknya menganggarkan lebih 500,000 pekerja dalam sektor peruncitan akan menerima manfaat.

"Justeru, KPDNHEP ingin menyeru semua syarikat di bawah sektor peruncitan menyertai program vaksinasi ini bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, syarikat yang berminat untuk menyertai program berkenaan boleh mengemukakan permohonan melalui https://www.vaksincovid.gov.my/ atau berhubung dengan kementeriannya melalui Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau emelkan ke [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 2:48 PM