ALEXANDER Nanta ketika sidang media selepas majlis perasmian Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO BERNAMA
ALEXANDER Nanta ketika sidang media selepas majlis perasmian Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor peruncitan dalam Kempen Norma Baharu Covid-19 berada pada tahap membanggakan apabila merekodkan pencapaian 97.9 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pencapaian itu direkodkan sejak pelaksanaan kempen itu pada 8 Ogos tahun lalu hingga 1 Mac lalu.

"Dalam tempoh itu, sebanyak 402,929 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, hanya 151 kompaun dikeluarkan.

"Berdasarkan jumlah pemeriksaan itu, KPDNHEP mendapati kadar pematuhan di sektor peruncitan amat tinggi dan perlu dikekalkan sehingga berakhirnya situasi pandemik di negara ini.

"Semua yang berada di peringkat peruncitan sama ada di pusat membeli-belah, kedai runcit, kedai serbaneka serta pasar awam bertanggungjawab memastikan pematuhan ini diikuti.

"Berdasarkan peratusan pematuhan yang sudah mencecah 97 peratus ketika ini, kita percaya mampu mencapai pematuhan 100 peratus jika semua pemain industri memainkan peranan masing-masing untuk," katanya ketika ditemui selepas perasmian Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Payang di sini.

Mengulas mengenai kempen berkenaan, Alexander berkata, selain Pasar Payang di Kuala Terengganu, program sama turut disasarkan di lima pasar utama iaitu Pasar Satok di Kuching, Sarawak; Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, Sabah; Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan; Pekan Rabu di Alor Setar, Kedah dan Pasar Chowrasta di Georgetown, Pulau Pinang.

Menurutnya, pasar utama itu dipilih kerana ia menjadi tumpuan terutamanya pelancong domestik.

"Pasar-pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima pengunjung dari luar dan dalam dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan domestik dibuka semula kelak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:36 PM