Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Orang ramai diingatkan tidak membeli vaksin Covid-19 secara dalam talian susulan dakwaan terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba mengiklankan penjualannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung aktiviti berkenaan.

"Namun kita akan melakukan pemantauan bagi mengesan mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian.

"Bukan sekadar vaksin, apa-apa bahan dan produk dijual online (secara dalam talian), kita memang pantau dan jika ada yang tidak betul, pengguna boleh memaklumkan kepada kita.

DATUK Seri Alexander Nanta Linggi (dua kanan) dan Datuk Rosol Wahid (kiri) menyampaikan risalah Kempen Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di semasa program lawatan Pasar Payang. FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi (dua kanan) dan Datuk Rosol Wahid (kiri) menyampaikan risalah Kempen Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di semasa program lawatan Pasar Payang. FOTO Ghazali Kori

"Namun dalam isu vaksin ini, ia bukan produk yang biasa, ini hal nyawa dan pengguna juga akan berdepan dengan pelbagai risiko dengan pembelian vaksin secara atas talian ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Payang di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid.

Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima dua laporan berkaitan penjualan vaksin Covid-19 yang membabitkan kerugian sebanyak RM285,499.95.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob dipetik berkata, pihaknya mengesan terdapat penularan maklumat di media sosial berkenaan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:09 PM