GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tindakan jurujual berusia 24 tahun membuat panggilan video bogel membawa padah apabila dia diugut seorang wanita yang mahu menyebarkan video berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang wanita dari China melalui aplikasi WhatsApp pada jam 5 petang kelmarin.

Katanya, mangsa kemudian diajak oleh suspek yang dikenali sebagai Lemon untuk membuat panggilan video dalam keadaan bogel.

"Sebaik selesai, suspek kemudian meminta wang sebanyak RM1,000 daripada mangsa dan sekiranya gagal, video bogel mangsa akan disebarkan.

"Mangsa yang takut kemudian membuat pembayaran melalui kaedah Razer Gold namun selepas itu suspek terus menggugut mahu menyebarkan video berkenaan," katanya hari ini.

Chang Hook berkata, siasatan polis mendapati panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp hanya dilakukan sebanyak dua kali pada waktu siang.

"Mangsa membuat 10 transaksi menggunakan Razer Gold dengan setiap transaksi berjumlah RM100 dan pembayaran dibuat di sebuah kedai serbaneka.

"Razer Gold adalah aplikasi tambah nilai bagi pertandingan dalam talian dan pemain boleh menambah nilai di mana-mana kedai serbaneka yang mempunyai aplikasi Razer Gold," katanya.

Chang Hook berkata. polis sedang mengesan pemilik nombor telefon serta lokasi telefon digunakan suspek.

Katanya, polis turut menasihatkan individu yang mengalami masalah serupa supaya tampil membuat laporan dan tidak perlu malu kerana polis akan menjalankan siasatan bagi menangkap suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 11:17 AM