SALAH satu kereta berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SALAH satu kereta berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Lelaki nekad membakar dua kereta milik ahli keluarga isterinya selepas dipercayai mempunyai masalah rumah tangga dalam kejadian di Kampung Indah, Bahau, 6.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 26 tahun dari Bahau membakar sebuah Perodua Kancil, milik mentuanya dan sebuah Proton Satria, milik kakak iparnya.

Bagaimanapun, kebakaran berkenaan sempat dipadam oleh ahli keluarga selepas disedari mentua suspek.

"Mangsa menyedari kejadian ketika keluar rumah dan melihat suspek sedang mencurah minyak ke atas kain sebelum dibakar.

"Suspek kemudian membaling kain berkenaan ke arah kereta Perodua Kancil menyebabkan ia terbakar pada bahagian luar tangki minyak," katanya, hari ini.

Chang Hook berkata, suspek yang menyedari kejadian itu dilihat mentuanya dari pintu rumah kemudian melarikan diri.

Katanya, mangsa kemudian mendapati Proton Satria yang berada di garaj, turut terbakar.

"Mangsa memanggil anaknya yang tinggal berhampiran bagi memadamkan api kereta berkenaan.

"Siasatan turut mendapati pada Ahad lalu suspek bergaduh dengan isterinya dan isteri suspek turut membuat laporan polis.

Chang Hook berkata, suspek berjaya ditangkap polis di Bahau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 9:30 AM