GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : 'Terbang' RM19,000 gara-gara digertak seorang suspek 'macau scam' yang memperkenalkan diri sebagai Dato Ko.

Itu nasib dialami seorang peneroka Felda Palong 10 di sini, selepas dihubungi suspek yang juga ahli sindiket menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai Datuk Ko pada Khamis lalu.

Menurutnya, penjenayah memberitahu bahawa nama mangsa terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.

"Mangsa kemudian ditawarkan pertolongan untuk membersihkan nama bagi mengelak diberkas polis. Mangsa kemudian disuruh memindahkan sejumlah wang ke akaun bank diberikan," katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes di sini, pada hari sama.

Dalam satu lagi kejadian, seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun dari Bahau turut menjadi mangsa penipuan macau scam.

Chang Hook berkata, mangsa sebelum itu menerima panggilan pada jam 1.30 tengah hari kelmarin.

"Suspek mendakwa anak mangsa yang tinggal di Singapura ditangkap di Johor Bahru atas kesalahan dadah.

"Susulan itu mangsa diarahkan memasukkan wang berjumlah RM5,000 ke nombor akaun bank diberikan bagi menyelesaikan masalah anaknya itu. Namun mangsa menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Saya meminta orang ramai lebih berwaspada apabila dihubungi individu tidak dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 3:56 PM