Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Polis menahan lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan surat yang mengecam Masjid Jamek Bahau dan menghina orang Melayu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 55 tahun itu ditangkap di rumahnya di Taman ACBE, 10.10 malam tadi.

Katanya bertindak atas maklumat sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol membuat serbuan di rumah suspek.

"Polis merampas beberapa helai kertas dan sampul surat yang disimpan di dalam kabinet dapur dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

"Suspek merupakan bekas pekerja restoran di Taman Meranti yang dikaitkan dengan kejadian itu namun sudah diberhentikan kerja oleh majikan disebabkan masalah displin selain sering memarahi pelanggan yang datang ke restoran berkenaan.

"Suspek dipercayai menulis surat berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan majikannya kerana diberhentikan kerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chang Hook berkata, suspek akan direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia ( AKM) 1998 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Katanya orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan kes berkenaan di media sosial kerana boleh mengganggu siasatan polis keatas kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, polis membuka satu kertas siasatan berikutan surat diterima pengurusan Masjid Jamek Bahau yang mengecam masjid serta menghina orang Melayu tular di media sosial.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 11:07 AM