FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Suami isteri berusia 34 dan 35 tahun ditahan polis selepas disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Felda Raja Alias Empat dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua suspek ditahan pada 4.10 petang semalam selepas polis menerima laporan kejadian daripada orang awam pada 9.45 pagi.

Katanya, mangsa adalah anak bongsu daripada empat beradik dan tinggal bersama kedua suspek selepas kematian ibu bapanya.

"Suspek lelaki adalah abang kandung berlainan bapa kepada mangsa," katanya.

Chang Hook berkata, pada hari kejadian mangsa dipukul oleh oleh isteri suspek menggunakan rotan sehingga luka dan berbirat di bahagian badan selepas mangsa membaling batu ke rumah orang.

Katanya, mangsa juga dipercayai pernah dipukul oleh abangnya itu dengan penyangkut baju kerana disyaki mencuri duit pada Ramadan, baru - baru ini.

"Mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut dan kedua-dua suspek akan direman hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 8:21 AM