Foto hiasan
Foto hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my

Jempol: Perasaan gembira dan teruja seorang wanita apabila menerima mesej menang hadiah wang tunai sebanyak RM7,000 daripada sebuah syarikat telekomunikasi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila menjadi mangsa penipuan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 22 tahun dari Bandar Seri Jempol menerima pesanan mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 21 Jun lalu dan memaklumkannya memenangi hadiah wang tunai.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diberi satu pautan laman web bagi menuntut hadiah berkenaan.

"Mangsa kemudiannya masuk ke laman web berkenaan dan mendapati sudah ada enam pemenang memenangi hadiah seperti yang ditawarkan.

"Selepas itu mangsa diminta mengisi maklumat peribadi selain menyertakan gambar kad bank di dalam laman web berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, mangsa kemudiannya gagal menghubungi suspek menerusi WhatsApp sebelum membuat semakan akaun banknya.

Menurutnya, hasil semakannya mendapati wang dalam akaunnya berkurangan RM1,000 dan ia didapati dipindahkan ke akaun bank lain.

Dalam kejadian berasingan, Chang Hook berkata, seorang wanita berusia 40 tahun turut mengalami kerugian sebanyak RM5,699 selepas menyerahkan kod kebenaran transaksi (TAC) kepada individu lain.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu selepas mangsa menerima satu panggilan menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta mangsa memberi nombor TAC yang diterima menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

"Suspek memaklumkan nombor TAC berkenaan tersalah hantar kepada mangsa," katanya.

Chang Hook berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 9:05 AM