Mahu Sain Hanafiah selesai menerima suntikan vaksin dos pertama. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Mahu Sain Hanafiah selesai menerima suntikan vaksin dos pertama. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Walaupun keadaan diri tidak sempurna, lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal ini sanggup menunggang motosikal roda tiga ke pusat pemberian vaksin (PPV) demi mendapatkan suntikan vaksinasi.

Malah, kehadirannya turut menjadi tumpuan kerana kekurangan dari segi fizikal disebabkan kaki dan tangannya yang pendek.

Lelaki itu Mahu Sain Hanafiah, 55, dia mahu mengambil vaksin seperti yang disarankan oleh kerajaan untuk mencegah wabak Covid-19.

Menurutnya, dia pernah cuba mendapatkan suntikan dos pertama di PPV Guchil beberapa minggu lalu, namun diminta menunggu di rumah kerana tergolong dalam kalangan OKU.

"Alhamdulillah, saya boleh menarik nafas lega apabila petugas kesihatan datang ke kampung ini untuk memberi suntikan vaksin kepada penduduk.

"Proses pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin juga cepat dan tidak perlu menunggu dalam tempoh masa lama," katanya.

Mahu Sain berkata demikian ketika ditemui ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak (Outreach) Daerah Kuala Krai di Kampung Pasir Kelang, di sini.

Penduduk lain Ayasamy Perswamy, 65, berkata dia menyambut baik suntikan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit selain dapat mengurangkan jangkitan.

"Saya sepatutnya mengambil suntikan vaksin dos pertama di Putrajaya, namun mengambil peluang untuk mendapatkan suntikan dos pertama memandangkan berada di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:20 PM