Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Rindu solat berjemaah di masjid dan surau, mahu berjumpa anak dan cucu selain menjalani kehidupan normal seperti dahulu mendorong warga emas di negeri ini tampil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Tinjauan Harian Metro di pusat pemberian vaksin (PPV) masjid di Masjid At-Taqwa Durian Burung, di sini, mendapati orang ramai melahirkan rasa teruja selepas menjadi individu terawal menerima suntikan dos pertama, hari ini.

Masjid At-Taqwa Durian Burung menjadi PPV masjid pertama dan projek perintis di negara ini yang diwujudkan bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan suntikan vaksin.

Pekerja pembersihan Abd Razak Abd Rahman, 62, berkata dia amat bersyukur apabila dipanggil untuk menerima suntikan vaksin dos pertama berkenaan.

"Kita tahu negara masih 'berperang' dengan Covid-19 dan situasi itu menyebabkan kehidupan kita kerana keadaan tidak seperti dahulu.

"Walaupun masjid dibuka tetapi jumlah jemaah yang dibenarkan hadir terhad dan situasi itu menyebabkan saya rindu suasana solat berjemaah dan melakukan aktiviti lain di masjid.

Ahmad Amzad (kanan) menyaksikan proses saringan kesihatan oleh petugas kesihatan sebelum diberi suntikan vaksin COVID-19 ketika melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Masjid At-Taqwa Durian Burung hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Amzad (kanan) menyaksikan proses saringan kesihatan oleh petugas kesihatan sebelum diberi suntikan vaksin COVID-19 ketika melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Masjid At-Taqwa Durian Burung hari ini. FOTO BERNAMA

"Apabila sudah menerima suntikan, sedikit sebanyak rasa risau itu hilang terutama apabila berada di tempat awam dan tidak sabar bertemu anak dan cucu yang berada di perantauan serta ke masjid seperti biasa," katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut meninjau kelancaran proses suntikan di PPV di masjid berkenaan.

Pesara guru, Fauzi Ismail, 60, berkata pengambilan vaksin perlu supaya masyarakat dapat kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa terutama bagi mereka yang terjejas dan tidak boleh bekerja disebabkan pandemik Covid-19.

"Pengambilan vaksin ini perlu untuk memudahkan urusan harian dan sudah tiba masanya untuk kita kembali semula kepada kehidupan yang asal iaitu sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya sudah menjalankan tanggungjawab dengan menyahut saranan kerajaan dan berharap pandemik ini segera berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:25 PM