Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada 93,262 remaja di Terengganu dijangka bermula akhir bulan ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun itu akan menerima vaksin berkenaan selepas 80 peratus populasi dewasa melengkapkan vaksinasi.

Katanya, berdasarkan data yang dikeluarkan, populasi dewasa Terengganu yang lengkap vaksinasi mencapai 66.73 peratus, manakala 90 peratus menerima dos pertama.

"Untuk itu, Terengganu dijangka mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin pada minggu akhir September dan seterusnya dapat memulakan program vaksinasi untuk golongan remaja.

"Keputusan kerajaan untuk melengkapkan pemberian vaksin kepada dewasa dahulu dan selesai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dewasa, (maka baru) kita mulakan program vaksin pada remaja.

"Saya akan berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memulakan vaksinasi kepada remaja dan sekiranya dibenarkan, ia mungkin dilaksanakan pada akhir bulan ini dan program itu nanti akan dijalankan di sekolah di seluruh Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Vaksinasi di Kampung Losong, di sini sempena Lawatan Kerjanya ke Terengganu.

Dalam lawatan itu, beliau turut berkesempatan memberikan suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada Jasmi Azmil Abdullah, 23, yang menghidap penyakit cerebral palsy.

Sementara itu, Dr Adham berkata, Terengganu bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 643,187 dos lagi bulan ini dalam usaha mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

Katanya, tambahan vaksin membolehkan negeri itu memperluaskan program vaksinasi secara terus atau 'walk-in' di 14 PPV sedia ada.

"Setakat ini, pemberian kumulatif dos vaksin di Terengganu adalah lebih 1.25 juta membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan individu dengan komorbiditi.

"Daripada jumlah itu, seramai 87,538 warga emas, 16,093 golongan OKU dan 221,301 individu dengan komorbiditi masing-masing sudah lengkap menerima dua suntikan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:44 PM
 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (dua kiri) melakukan suntikan vaksin COVID-19 kepada Jasni Azmil Abdullah, 24 yang menghidap penyakit saraf semasa program outreach rumah ke rumah di Kampung Losong hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (dua kiri) melakukan suntikan vaksin COVID-19 kepada Jasni Azmil Abdullah, 24 yang menghidap penyakit saraf semasa program outreach rumah ke rumah di Kampung Losong hari ini. FOTO GHAZALI KORI