ANTARA PATI yang ditahan. FOTO Ihsan APMM
ANTARA PATI yang ditahan. FOTO Ihsan APMM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih menerusi Op Benteng berjaya menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang menyelinap masuk secara haram melalui persisiran pantai Sungai Janggut, Kapar, di sini semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima laporan awam daripada komuniti Sungai Janggut mengenai pendaratan PATI di sekitar ladang sawit Jalan Tambak Jawa, Sungai Janggut, Kapar kira-kira 9 pagi.

"Sebaik menerima maklumat itu, APMM Selangor segera mengatur gerak bot Benteng 02

bagi meninjau lokasi di sekitar perairan berkenaan.

"Pada masa sama, Maritim Negeri Selangor bersama PGA Batalion 4 Pos Pantai Remis Kuala Selangor melalui darat ke lokasi terbabit bagi menyerbu dan menahan kumpulan suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Rosli berkata, pada mulanya, tinjauan pasukan melalui darat hanya menemukan seorang PATI sedang bersembunyi di semak berhampiran lokasi pendaratan.

"Bagaimanapun, hasil siasatan, terdapat ramai lagi PATI sedang bersembunyi daripada dikesan oleh penduduk kampung dan pasukan operasi.

"Siasatan mendapati, seramai 26 PATI mendarat dan mereka berjaya diberkas dengan kerjasama penduduk kampung Sungai Janggut," katanya.

Beliau berkata, siasatan dan pengesanan di lokasi mendapati, kumpulan terbabit dipercayai memasuki perairan Malaysia menggunakan bot dari Indonesia dan segera berpatah balik sebaik mendaratkan PATI.

"Aset APMM yang berada di perairan Selangor diarahkan untuk mengesan dan menjejaki bot yang dipercayai terbabit di dalam aktiviti kemasukan PATI berkenaan.

"Kesemua PATI yang ditahan disyaki warga Indonesia, terdiri dari 21 lelaki serta lima wanita berumur antara 17 hingga 53 tahun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 9:46 AM