Pati yang ditahan selepas menceroboh negara di pesisir pantai Kampung Tok Muda, Kapar. FOTO Ihsan PGA.
Pati yang ditahan selepas menceroboh negara di pesisir pantai Kampung Tok Muda, Kapar. FOTO Ihsan PGA.
Ruwaida Md Zain


Klang: Lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang mendarat di pesisir pantai Kampung Tok Muda, Kapar, di sini sempat bersembunyi empat jam, sebelum kehadiran mereka dikesan pihak berkuasa.

Mereka sebelum itu dikatakan menempuh perjalanan kira-kira 50 jam dengan menaiki bot nelayan untuk menceroboh perairan negara.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pasukannya menahan kesemua Pati itu pada 8.30 pagi semalam.

"Siasatan mendapati, mereka bertolak dari Tanjung Balai pada 2 pagi, 8 Mac dengan menaiki bot nelayan dan tiba di sini pada 4 pagi semalam.

"Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Pati yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan dua perempuan warganegara Indonesia berumur di antara 22 tahun hingga 55 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Kapar untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan melakukan ujian saringan Covid-19.

"Saya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 10:49 AM