SEBAHAGIAN daripada Pati berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN daripada Pati berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sanggup bersembunyi di kawasan paya bakau berhampiran kunci air Sungai Janggut, Jeram, di sini, hampir 10 jam, dipercayai semata-mata menunggu untuk dijemput oleh perkhidmatan e-hailing.

Itu tindakan sekumpulan 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia 18 hingga 40 tahun yang dipercayai baru tiba dari Tanjung Balai, Indonesia, dengan menaiki bot nelayan.

Bagaimanapun, cubaan semua individu yang terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita untuk masuk ke negara ini gagal, apabila mereka ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, pada 6.30 pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, penahanan dibuat menerusi rondaan dan pemantauan oleh pihaknya di sekitar kawasan terbabit.

Beliau berkata, semua Pati ditemukan bersembunyi di kawasan paya bakau berhampiran kunci air.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.

"Mereka yang masuk menerusi jalan laut itu dipercayai bersembunyi sebelum menunggu dijemput oleh e-hailing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rizal berkata, siasatan lanjut mendapati semua Pati terbabit membayar sehingga RM 1,500 bagi setiap seorang kepada ejen masing-masing.

"Mereka masuk ke Malaysia buat pertama kali dan tidak mempunyai rekod lampau.

"Pekerjaan seperti buruh binaan, pembantu rumah dan kedai runcit antara yang menjadi tumpuan mereka," katanya.

Menurutnya, semua warga asing terbabit datang dari kampung yang berbeza dan berada di dalam bot selama satu malam sebelum tiba di Malaysia.

"Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 9:58 AM