KANAK-KANAK lelaki berusia 5 tahun antara 43 Pati yang ditahan APMM Selangor. FOTO Ihsan APMM
KANAK-KANAK lelaki berusia 5 tahun antara 43 Pati yang ditahan APMM Selangor. FOTO Ihsan APMM
Norzamira Che Noh

Pelabuhan Klang: Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun antara 43 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, awal pagi hari ini.

Semua Pati warga Indonesia berusia antara lima hingga 47 tahun itu dikesan cuba memasuki negara ini di kedudukan 1.6 batu nautika barat daya Sungai Janggut, Kapar.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM di Area Command Centre (ACC) Klang mengesan sebuah vesel mencurigakan sedang bergerak sekitar perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram pada 12.10 tengah malam.

Beliau berkata, susulan itu sebuah bot ronda APMM yang sedang melaksanakan Op Belangkas di perairan Kuala Selangor diatur gerak ke lokasi disyaki.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota penguat kuasa menemukan sebuah bot pom- pom sarat dengan penumpang dan diarahkan berhenti, namun tidak diendahkan.

"Pengendali bot itu memecut laju untuk meloloskan diri, namun berjaya dipintas dan ditahan dalam tempoh 10 minit.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 43 Pati warga Indonesia berumur antara lima hingga 47 tahun terdiri daripada 30 lelaki, 12 perempuan dan seorang kanak-kanak berada di atas bot berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua Pati dan bot itu kemudian diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"APMM memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di laut dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabul kedaulatan perairan negara.

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 3:36 PM