WARGA Indonesia yang ditahan APMM di perairan Jeram, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan APMM
WARGA Indonesia yang ditahan APMM di perairan Jeram, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan APMM
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Ditawarkan upah lumayan sehingga RM890. Itu diterima ejen laut warga asing sebagai habuan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Difahamkan, setiap kali melakukan penyeludupan pati itu, tekong diupah dua hingga tiga juta rupiah (RM593 hingga RM890), manakala kru kapal dibayar 1.5 hingga 2.5 juta rupiah (RM445 hingga RM742).

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, taktik itu dikesan APMM Selangor selepas tiga individu warga Indonesia menaiki bot tongkang kayu di perairan Jeram, di sini, jam 1.16 pagi hari ini, ketika cuba menyeludup Pati.

Beliau berkata, pihaknya mengesan kapal mencurigakan yang bergerak di perairan Pulau Angsa menuju ke Sungai Janggut pada 11.38 malam, semalam.

"Bot Perkasa 35 yang dalam rondaan rutin memintas sasaran sekitar 1 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati bot kayu itu dikendalikan seorang tekong serta dua kru warga Indonesia berusia lingkungan 28 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Suspek dipercayai menurunkan Pati di perairan Sungai Janggut, Jeram dalam dalam perjalanan pulang ke Tanjung Balai di Indonesia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek bersama bot dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 6:36 PM