Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang didalangi wanita warga asing dikenali Ibu Ani berakhir selepas ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor 5 November lalu.

Ia susulan tangkapan ke atas wanita berusia 56 tahun itu di sebuah flat di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada jam 5.45 pagi.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kejayaan tangkapan Ibu Ani susulan penahanan 25 Pati serta enam ejen darat dan laut berusia 20 hingga 60 tahun sekitar jam 4 pagi pada hari sama di Pulau Angsa serta pesisiran pantai Sungai Janggut, Kapar.

MOHD Rosli Kassim (kanan) menunjukkan sebuah bot yang dirampas sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin yang dikenali sebagai Ibu Ani. FOTO Faiz Anuar
MOHD Rosli Kassim (kanan) menunjukkan sebuah bot yang dirampas sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin yang dikenali sebagai Ibu Ani. FOTO Faiz Anuar

"Hasil siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan dipercayai bermula sejak tiga tahun lalu dan kembali aktif empat bulan lalu yang mana Ibu Ani bertindak sebagai ejen menguruskan kemasukan serta keluar Pati dengan mengenakan bayaran sekitar RM1,500 dan RM2,000 seorang.

"Bayaran berkenaan merangkumi semua kemudahan yang akan disediakan kepada Pati berkenaan termasuk penginapan, kenderaan, makanan dan lain-lain.

"Turut dirampas sebuah bot; sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV); dua van dan beberapa telefon bimbit yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM450,000," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan penahanan wanita itu, APMM turut mengesan beberapa ejen yang berkemungkinan terbabit dalam sindiket yang sama.

Katanya, siasatan dan tangkapan susulan akan dilakukan terhadap ejen berkenaan selepas ini.

Mohammad Rosli berkata, sindiket berkenaan akan menempatkan Pati di rumah flat yang turut didiami warga asing yang mempunyai dokumen sah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Sindiket ini juga membawa Pati menggunakan kenderaan yang disewa justeru pemilik kenderaan sewa disaran berhati-hati dan memeriksa terdahulu siapa penyewa supaya kenderaan mereka tidak disita sekiranya ditahan pihak berkuasa.

"Sindiket turut bertindak berkongsi mengenai testimoni perkhidmatan yang ditawarkan di aplikasi WhatsApp bagi menarik warga asing yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan reman 14 hari dan kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

#kw

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 2:51 PM