Anggota APMM sentiasa mengawal sempadan perairan negara. FOTO NSTP
Anggota APMM sentiasa mengawal sempadan perairan negara. FOTO NSTP
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Segelintir warga Indonesia yang menjadi kru bot nelayan tempatan dikesan menjadi dalang membawa masuk rakan senegara ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan dengan bayaran tertentu sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, bot dari negara jiran yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) akan menunggu bot nelayan tempatan dikendalikan kru warga Indonesia di perairan sempadan untuk dibawa masuk ke perairan negara dengan upah RM200 untuk seorang individu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, aktiviti itu dikesan susulan penahanan sebuah bot dari negara berkenaan yang membawa 21 warga Indonesia pada Oktober lalu.

Menurutnya, bot berkenaan mendakwa mahu ke perairan Selangor sebelum semua Pati terbabit ditinggalkan tekong selepas bot itu mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan ke perairan Perak.

"Kegiatan sama dikesan turut berlaku di Perak dengan pembabitan kru warga senegara tanpa pengetahuan pengusaha bot nelayan berkenaan dengan bayaran tertentu untuk seorang individu.

"Bagaimanapun, kita masih melakukan siasatan lanjut bagi memastikan perkara ini. Kita tidak akan berkrompomi dengan kegiatan seperti ini dan menggesa majikan lebih tegas memastikan kru warga asing mereka tidak melakukan kegiatan dilarang," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Shahrizan berkata, kemasukan warga asing melalui laluan tidak diwartakan itu turut membabitkan mereka mempunyai permit atau dokumen pengenalan diri sah susulan penutupan sempadan kedua-dua negara ketika ini.

Katanya, ia tetap menjadi satu kesalahan kerana mereka melalui laluan tidak diwartakan dan dikira menceroboh perairan negara.

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya juga sentiasa meningkatkan pemantauan dan rondaan terutama di kawasan perairan sempadan bagi mengelak aktiviti jenayah rentas sempadan dan kemasukan Pati termasuk pelarian Rohingya.

Katanya, pemantauan dibuat sepanjang perairan negeri dengan penugasan aset termasuk udara dan pengesanan radar Stesen Pengawasan Maritim Laut Lumut (SWASLA) untuk mengesan sebarang pergerakan bot mencurigakan.

"Setakat ini kita belum mempunyai sebarang rekod pendaratan etnik Rohingya di Perak dan maklumat mengenainya juga belum ada.

"Jarak yang jauh menjadi kekangan untuk mereka (pelarian Rohingya) sampai ke sini selain bentuk muka bumi yang tidak sesuai untuk bot mereka merapat menjadikan Perak bukan pilihan pendaratan mereka.

"Bagaimanapun, APMM sentiasa memantau dan meningkatkan rondaan sepanjang perairan negeri dengan memfokuskan aset dan pengoperasian kekal di perairan sempadan," katanya.

Katanya, APMM menggesa orang awam terutama nelayan menyalurkan maklumat jika melihat kapal atau bot terutama bot asing mencurigakan di perairan negara kepada pihaknya.

Pada Oktober lalu, media melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot yang membawa 21 warga Indonesia dipercayai mahu ke perairan Selangor sebelum semua Pati terbabit ditinggalkan tekong selepas bot itu mengalami kerosakan enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 12:27 PM