GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak menangguhkan semua aktiviti mengimarahkan masjid dan surau seluruh negeri itu kecuali Miri, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 7 Jun.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataan memaklumkan penangguhan itu antara prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditambah untuk mengekang penularan wabak Covid-19 yang berkuat kuasa hari ini.

Aktiviti keagamaan ditangguhkan seperti ceramah, kuliah, kelas dan lain-lain program kecuali antara Maghrib dan azan Isyak dan selepas Subuh yang setakat 7.30 pagi.

"Bagaimanapun, solat Jumaat dan solat lima waktu boleh diadakan di masjid dan surau dengan jumlah jemaah terhad serta memastikan penjarakan fizikal satu meter," kata kenyataan itu.

Bagi masjid gred khas iaitu Masjid Negeri, jumlah jemaah dibenarkan hadir bagi solat Jumaat adalah 900 orang, manakala solat fardu hendaklah tidak melebihi 50 orang, tidak termasuk pegawai masjid.

"Jumlah jemaah yang dibenarkan hadir untuk masjid bagi Gred 1 (Masjid Bahagian) pula adalah 500 orang untuk solat Jumaat dan tidak melebihi 50 orang tidak termasuk pegawai masjid bagi solat lima waktu.

"Bagi masjid Gred II, III dan IV (Masjid Daerah, Daerah Kecil dan Kariah), solat Jumaat dibenarkan 250 jemaah dan tidak melebihi 50 orang tidak termasuk pegawai masjid bagi solat lima waktu," katanya.

Sementara itu, surau tanpa solat Jumaat dibenarkan dihadiri 40 jemaah tidak termasuk pegawai.

Kenyataan menyebut, jemaah yang hadir diharuskan memeriksa suhu badan dan mendaftar kemasukan menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual, menggunakan pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

"Jemaah digalakkan berwuduk di rumah, tidak bersesak-sesak untuk masuk keluar masjid atau surau dan tidak bersalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 3:47 PM