KETETAPAN baru bilangan jemaah bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) sebanyak 3,500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu. FOTO Arkib NSTP
KETETAPAN baru bilangan jemaah bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) sebanyak 3,500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengumumkan ketetapan baru bilangan jemaah bagi solat Jumaat, solat lima waktu dan program pengimarahan di masjid, surau dan musolla di negeri ini selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penambahan bilangan jemaah ditetapkan mengikut kategorinya dan berkuat kuasa bermula hari ini di seluruh Selangor sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa.

"Sebanyak enam masjid di bawah kategori masjid negeri dan masjid Diraja, ini termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), 3,500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

"Manakala Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula, bilangan jemaah adalah 2,000 termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

"Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pula, 1,500 termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang dibenarkan 700 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala Masjid Sultan Abdul Aziz, Pulau Indah dan Masjid Diraja Sultan Ala'eddin, Kg Bandar Jugra Banting pula masing-masing 400 jemaah.

"Bagi ketiga-tiga masjid ini, seramai 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu," katanya.

Beliau berkata, bagi kategori masjid daerah dan institusi pula, jumlah jemaah bagi solat Jumaat dan solat lima waktu, ketetapan dibuat bergantung kepada kapasiti masjid.

"Sebanyak tiga masjid daerah yang ditetapkan 1,000 jemaah iaitu Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang; Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Sepang dan Masjid Jamek Ar-Rahimah, Hulu Selangor.

"Tiga masjid institusi pula dibenarkan sehingga 1,200 jemaah seperti Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA; Masjid Sultan Ahmad Shah UIA dan juga Masjid Uniten.

"Bagi semua masjid dearah dan institusi ini, seramai 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu," katanya.

Sementara itu katanya, masjid pengurusan ditetapkan ramai 700 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

"Masjid kariah pula 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

"Surau kebenaran solat Jumaat pula 400 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

"Surau kariah dan musolla pula masing-masing 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu," katanya.

Katanya, berikutan peningkatan jumlah bilangan jemaah terbaru ini, baginda menitahkan agar program pengimarahan turut diperluaskan bagi memastikan peranan masjid dan surau sebagai pusat ilmu Islam dan pusat komuniti ummah setempat kembali berfungsi seperti ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 11:45 AM