MASJID Al Ghazli di Jalan Depo, Petrajaya. FOTO arkib NSTP
MASJID Al Ghazli di Jalan Depo, Petrajaya. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


SARAWAK membenarkan solat Jumaat di 406 masjid dan surau seluruh negeri mulai Jumaat ini dengan jumlah jemaah yang dihadkan.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, ketika mengumumkan keputusan itu, hari ini turut membenarkan jumlah jemaah solat waktu di semua masjid dan surau ditambah.

Misnu berkata, bagi Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya, jumlah jemaah yang dibenarkan ialah 100 orang untuk solat Jumaat manakala 40 orang untuk solat waktu.

Bagi masjid bahagian, daerah dan daerah kecil pula, jemaah solat Jumaat yang dibenarkan ialah 50 orang dan solat waktu seramai 40 orang.

Masjid kariah dan surau pula, 40 orang dibenarkan untuk solat Jumaat dan 40 orang juga untuk berjemaah solat waktu.

Manakala bagi surau pula, 20 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat waktu.

"Keputusan ini kita buat selepas Kerajaan Pusat mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

"Pemilihan jemaah adalah tertakluk kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau. Mereka yang datang untuk berjemaah hendaklah mematuhi prosedur operasi standard yang dibenarkan," katanya.

Misnu berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan membuat pemantauan di semua masjid dan surau bagi memastikan SOP dipatuhi.

"Kita juga sudah melaksanakan program sanitasi di masjid serta surau dan bagi yang belum dinyah cemar, kita mahu ia dilaksanakan segera," katanya.

JAIS turut mengeluarkan garis panduan bagi umat Islam yang menunai solat di masjid serta surau antaranya jemaah hendaklah mengambil wuduk di rumah sebelum pergi ke masjid atau surau, membawa sejadah sendiri atau alas sujud, menggunakan pelitup muka sepanjang berada dimasjid atau surau.

Jemaah juga tidak boleh bersesak-sesak untuk masuk dan keluar masjid atau surau dengan menjaga jarak sosial dan juga di tempat wuduk serta tandas, mendaftar butiran peribadi dalam buku rekod khas yang disediakan, mencuci tangan menggunakan hand sanitizer yang disediakan, mengambil berat aspek kebersihan semasa berada di masjid dan surau,tidak menyentuh pintu, tombol pintu, susur tangan (handrail), besi jeriglji keselamatan, suis-suis elektrik, tabung infaq, mikrofon atau mana-mana peralatan yang lazim disentuh ramai.

Selain itu, jemaah dinasihatkan terus pulang sejurus selepas selesai solat dan doa, amalan bersalaman sepanjang berada di masjid adalah tidak dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk berkumpul atau beri'tikaf di dalam masjid dan surau sebelum dan selepas solat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 12:57 PM